Ramai yang menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai masa untuk bersenam kerana mempunyai jadual harian yang sibuk, bukan sahaja di tempat bekerja malah di rumah meluangkan masa bersama anak-anak dan keluarga. Walaupun pada mulanya kelihatan amat sukar, namun sebenarnya adalah tidak mustahil untuk mengimbangi kehidupan harian yang sibuk dengan masa untuk bersenam. Anda cuma perlu membuat beberapa perubahan dalam gaya hidup anda.
Salah satu caranya adalah dengan mendapatkan senaman yang menyeluruh dalam masa yang tersingkat. Ini dapat dilakukan dengan melakukan senaman kompaun, iaitu senaman yang melibatkan beberapa otot pada satu masa. Ia umpama melakukan tiga atau empat jenis senaman, tetapi dalam tempoh masa yang jauh lebih pendek. Antara senaman kompaun adalah seperti membuat "squat", "dead lift", "bench press" dan "dip".
Selain itu manfaatkan hujung minggu anda untuk melakukan senaman. Hanya gunakan satu atau dua jam untuk bersenam pada hari Sabtu dan Ahad. Walaupun hanya bersenam dua hari seminggu, ini adalah jauh lebih baik dari tidak bersenam langsung.
Satu lagi cara adalah dengan membuat jadual harian. Dengan cara ini anda dapat melihat dan merancang bagaimana anda menggunakan masa anda dalam satu hari dan satu minggu. Buat peruntukkan sekurang-kurangnya sejam setiap hari untuk bersenam. Bila ada jadual, lebih mudah bagi anda untuk merancang program harian bagi memastikan ada sedikit masa untuk bersenam.
Cara lain adalah untuk menyediakan sebuah gimnasium di rumah. Anda tak perlu meluangkan masa memandu ke gimnasium, tak perlu mencari tempat letak kereta, tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, dan sebagainya. Tiada lagi alasan untuk tidak bersenam.
Ada juga yang tidak melakukan senaman kerana ingin meluangkan masa yang ada bersama keluarga atau rakan-rakan. Apa kata anda luangkan masa bersama mereka dengan bersenam? Ianya juga satu bentuk riadah. Misalnya, bawa anak-anak sekali sewaktu berjoging. Ya, mungkin anda tidak dapat melakukan senaman yang intensif bila bersama mereka, tetapi sekurang-kurangnya anda melakukan pergerakan yang sudah cukup untuk mengekalkan berat badan anda. Tambahan pula ianya dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim.
- Kevin Zahri -
0 Response to "Mengimbangi Masa Sibuk Dengan Senaman"
Post a Comment